Sunday, April 14, 2013

Buku Senjata Pusaka Bugis

Buku Senjata Pusaka Bugis

Hamba amat beruntung kerana dikurniakan oleh Allah SWT sahabat-sahabat yang baik yang boleh dijadikan cermin diri. Apabila hamba ingin membuat sesuatu keputusan yang penting, hamba pasti akan merujuk kepada sahabat-sahabat hamba. Sahabat hamba yang paling rapat tentulah gandingan hamba, iaitu isteri hamba. Sahabat-sahabat yang lain merupakan mereka yang hamba telah mengenali hati budi mereka, hamba ikhlas dengan mereka dan mereka juga ikhlas dengan hamba. Mereka akan mendorong hamba kearah kebaikan dan akan memberi tentangan jika mereka dapati hamba menjerumus ke arah yang tidak molek.

Hamba selalu memberi nasihat kepada anak-anak hamba untuk berwaspada apabila memilih kenalan. Ada kenalan yang menjadi sekadar kenalan. Ada kenalan yang boleh menjadi rakan. Ada rakan yang boleh menjadi kawan. Ada kawan yang boleh menjadi sahabat.


Semalam, sahabat baik hamba menghadiahkan buku "Senjata Pusaka Bugis - Pamor dan Landasan Spritual" yang ditulis oleh Ahmad Ubbe, Andi M. Irwan Zulfikar dan Dray Vibrianto Senewe. Buku ini sukar didapati di Malaysia. Sahabat hamba membeli buku tersebut dari Indonesia semasa beliau ke sana atas urusan kerja. Buku tersebut adalah buku kulit tebal dengan 366 halaman yang berwarna.

Untuk sahabat hamba membawa buku yang agak tebal ini pulang ke tanah air, seolah-olah ingin menyampaikan hajatnya untuk hamba memiliki buku tersebut. Pada hemat hamba, hamba akan mengambil masa yang agak lama untuk mengkaji buku ini kerana ia padat dengan ilmu yang teknikal mengenai senjata-senjata Melayu Bugis. Itulah seorang sahabat, yang memberi tanpa berkira untuk melangsungkan minat sahabatnya di dalam kecintaan budaya Melayu.



Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita sahabat-sahabat yang mendekatkan kita kepada agama Islam. Amin.

No comments:

Post a Comment