Tuesday, April 23, 2013

Amalan Tok Ku Paloh- CD Perisai Ghaib


Amalan Tok Ku Paloh

Lebih kurang sebulan lalu, isteri hamba telah membeli satu CD dari seorang peniaga buku agama di pasar pagi Selayang. Baru hari ini hamba dapat meluangkan masa untuk meneliti dan mendengar isi kandungan CD tersebut. CD yang diterbitkan tahun ini oleh Abban Cipta Entertainment ini amat menarik kerana ia memuatkan amalan-amalan pejuang dan alim ulama Melayu lampau. Tajuk CD tersebut ialah “Amalan Warisan Perisai Ghaib” yang telah dirakam oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.                                  

Salah satu amalan yang diketengahkan ialah amalan yang dikatakan berasal dari Tok Ku Paloh, seorang alim, ulama dan ada yang mengatakan beliau adalah seorang wali Allah. Wallahua’lam. Yang pasti Tok Ku Paloh adalah orang yang amat tinggi ilmunya.

Menurut CD tersebut, jika kita mengalami kesulitan, bacalah ayat di bawah sebanyak yang mungkin sehingga mendapat bantuan, sambil mengusahakan untuk mengatasi kesulitan tersebut.
17:70
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Al-Isra’ 17:70)

Hamba kagum dengan penggunaan ayat tersebut untuk memohon pertolongan Allah. Hanya orang yang ahlinya sahaja yang mengetahui penggunaannya. Manusia seperti Tok Ku Paloh.
Pada ayat tersebut, Allah menyatakan yang Bani Adam merupakan makhluk yang paling mulia dan merupakan makhluk yang diberikan nikmat untuk menggunakan kenderaan di darat dan laut. Cuba bayangkan di manakah kemajuan manusia jika tidak mempunyai kebolehan untuk menggunakan kenderaan. Ayat di atas juga menetapkan bahawa manusialah yang di berikan kelebihan yang utama dari makhluk lain dan dialah yang diberikan rezeki yang baik-baik dari Allah.
Hamba dalam proses menghafal ayat tersebut dan memohon mendapat rezeki yang baik-baik seperti firman Allah itu. Semoga dapat keberkatan dari Allah.

Allah yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment