Orang Melayu dari Alam Melayu
Hamba berbangga menjadi Rakyat Malaysia, negara yang bebas
merdeka dan mengamalkan system politik berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Akan tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat cubaan dari
pelbagai pihak yang ingin memecah belahkan perpaduan antara kaum dengan memutar
belitkan sejarah.
Seorang ahli akademik yang berkelulusan undang-undang Dr.
Azmi Sharom adalah salah seorang yang dimaksudkan itu. Beliau di dalam satu
ceramahnya yang boleh ditonton di YouTube telah mengatakan “there is some
degree of pendatangness in all of us” dengan memberi ulasan bahawa Paremeswara
pengasas Kerajaan Melaka yang menjadi asas kerajaan di Malaya merupakan “the
Ultimate Pendatang” atau “Pendatang Tanpa Izin”. Beliau juga mengatakan sebagai
contoh, Tun Razak juga pendatang kerana mempunyai susur galur darah Bugis. Ada
juga perkataan yang diucap oleh Dr. Azmi Sharom seperti memperlekehkan
Kesultanan Melayu Kedah dengan mengatakan “Which Kedah royalty who does not
have Siamese blood in them?”
Bagi hamba pernyataan-pernyataan ahli akademik undang-undang
tersebut adalah untuk memberi gambaran bahawa orang Melayu di Malaysia bukanlah
penduduk asal dan semuanya adalah pendatang. Beliau ingin menjadi adi wira
menentang racism (perkauman) dengan mempersendakan asal usul orang Melayu
dengan melunturkan apa yang menjadi kebanggaan orang Melayu, iaitu asal usul
dan jati diri orang Melayu itu sendiri.
Sebenarnya kelakuan Dr. Azmi Sharom itulah bersifat
perkauman Anti-Melayu walhal dia sendiri adalah orang Melayu (mungkin beliau
sendiri tidak sedari).
Hamba masih mengingati sesetengah pemimpin orang Melayu yang
memanggil kaum selain dari Melayu sebagai pendatang. Pemimpin Melayu seperti
ini tidak melihat aspek bahawanya perkataan yang dinyatakan oleh beliau adalah
bersifat kurang ajar dan mengguris hati kaum lain kerana semua kaum di Malaysia
ini berpijak di tanah Malaysia dan menjunjung langit Malaysia jua.
Saya jangka mungkin Dr. Azmi Sharom juga tidak menyukai apa
yang dikatakan oleh pemimpin Melayu tersebut. Tetapi reaksinya terhadap pernyataan
tersebut ialah dengan memberi gambaran melalui ceramah bahawa semua orang
Melayu adalah pendatang.
Kenapa beliau berbuat demikian? Mungkinkah beliau ingin
menjadi jaguh kepada orang bukan Melayu dalam usaha beliau untuk membuat orang
bukan Melayu membenci orang Melayu. Dia sebenarnya mengajar kaum bukan Melayu
contohnya untuk mengata balik kepada orang Melayu dengan mempersenda “Melayu
ini asal mana? Kalau tak Indonesia”.
Dengan pernyataan demikian, orang Melayu akan pula
tersinggung jika mereka sendiri tidak memahami sejarah. Apa yang dilakukan oleh
Dr. Azmi Sharom amat licik dan gerakan beliau ini mendapat momentum dan boleh disaksikan
dewasa ini bila lebih ramai orang bukan Melayu menyatakan bahawa orang Melayu
adalah sebenarnay “orang Indon”.
Hamba ingin menjelaskan di sini bahawa Dr. Azmi Sharom tidak
memahami erti Dunia Melayu dan Alam Melayu iaitu dari mana asal usul orang
Melayu. Orang Melayu berasal dari Nusantara atau Gugusan Kepulauan Melayu yang merangkumi
dari New Zealand di selatan Kepulauan Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu
hingga Segenting Kra hinggalah ke Kepulauan Filipina di utara. Ada yang
mengatakan, Dunia Melayu adalah hingga ke Hawaii.
Sebelum terasasnya dunia yang dipecahkan kepada
negara-negara yang mempunyai kedaulatan perundangan dan bidang kuasa (jurisdiction)
mereka tersendiri, Alam Melayu sudah ada. Dan Alam Melayu ini adalah amat poros
di mana, pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu berhubung di antara satu sama lain
dengan amat mudah. Sebagai contoh orang Bugis dari Makassar dapat berlayar ke
Kuantan dengan hanya beberapa minggu. Orang Jawa dari Betawi dapat ke Kota
Bharu atau Pattani dengan juga dengan senang. Oleh demikian tidak hairanlah,
terdapat orang Melayu suku Bugis di Pahang, dan orang Melayu suku Jawa di
Kelantan.
Di Negeri Sembilan, sebagai contoh, Yam Dipertuan Besar pula
diundang dari Pagar Ruyung Minangkabau. Ini semua adalah amalan yang biasa di
Alam Melayu kerana semuanya adalah terhubung melalui jalinan laut.
Selepas tertubuhnya Negara Indonesia, Malaysia, Filipina dan
telepasnya Pattani kepada Negara Thai, negara-negara tersebut membangunkan identiti
bangsa dan negara tersendiri. Jadi orang Aceh yang menetap di Pulau Pinang,
contohnya, perlu memilih untuk bermastautin di Pulau Pinang dan orang Pulau
Pinang yang menetap di Aceh pula perlu memilih untuk bermastautin di Aceh.
Padahal pada masa dahulu, mereka boleh pergi dan pulang dengan bebas tanpa ada sekatan.
Oleh itu, jika Dr. Azmi Sharom ingin mengatakan orang Melayu
adalah pendatang, pernyataan ini adalah tidak tepat dan dapat menyalakan
kebencian dan kemarahan orang Melayu. Orang Melayu adalah dari Alam Melayu,
Dunia Melayu. Itulah asal usul orang Melayu di Malaysia. Oleh kerana orang
Melayu di Malaysia hanya mengaitkan diri mereka sebagai rakyat Malaysia, adalah
tidak patut bagi sesiapa untuk menggambarkan orang Melayu Malaysia adalah dari
negara lain selepas mengetahui
perkembangan sejarah Alam Melayu dan Dunia Melayu.
Wahai Dr. Azmi Sharom, hamba ingin menyatakan kepada tuan,
pelajarilah sejarah dan fahamilah seluruh kawasan Alam Melayu pada dahulunya
adalah tempat orang Melayu. Oleh yang demikian, seorang yang mengaku sebagai
ahli akademik seharusnya memahami konsep sejarah sebelum membuka mulutnya dengan
mempersendakan keMelayuan itu sendiri. Jangan menjual maruah bangsa sendiri
untuk menghiburkan orang lain dengan mempersendakan orang Melayu.
Kapal Melayu DahulukalaCadik Sumatera - Sejenis Perahu Katir |
Perahu Kalia - Merupakan perahu dari Pulau Tonga yang berukuran 30 meter panjang dan boleh memuatkan 100 orang. Perahu ini digunakan untuk menjelajah jauh atau berhijrah. |
Kapal Lancang Kuning - Kapal orang Melayu yang terkenal. Kapal ini adalah jenis kapal yang diklasifikasi sebagai kapal laju yang digunakan untuk perperangan ataupun untuk melarikan diri dari musuh. |
No comments:
Post a Comment