Wednesday, April 10, 2013

Keris Melayu dan Pemimpin Melayu

Apabila Sang Pemimpin Mengangkat Keris


Dato' Sri Hishamuddin Hussein
Pada suatu ketika dahulu, ada seorang pemimpin Melayu menghunuskan Keris Melayu ke udara untuk menaikkan semangat penyokong-penyokongnya. Akan tetapi apabila beliau dikritik oleh pelbagai pihak termasuk pihak bukan Melayu kerana perbuatannya itu, pemimpin tersebut telah memohon maaf kepada pihak-pihak yang menkritik beliau. Ini adalah seolah-olah pemimpin tersebut telah membuat satu kesilapan besar dengan mengangkat Keris Melayunya ke langit.

Ini adalah satu episod yang amat memalukan bagi orang-orang Melayu di Malaysia. Seolah-olah umat Melayu harus berasa bersalah terhadap simbol umat Melayu itu sendiri. Jika pemimpin tersebut tidak boleh mempertahankan Keris Melayu sebagai simbol Melayu, apakah pemimpin tersebut layak memimpin orang-orang Melayu.

Kelayakan untuk memimpin yang dipersoalkan bukanlah kelayakan akademik atau bagaimana pemimpin tersebut menjaga kawasan politik beliau. Kelayakan yang dipersoalkan ialah apakah pemimpin tersebut mencintai budaya dan bangsa Melayu. Jika benar pemimpin tersebut sayangkan budaya Melayu, kenapa menjadi satu perkara yang sukar baginya dan pertubuhan yang diwakilinya itu untuk memberi penjelasan mengenai perbuatannya itu dari segi budaya Melayu?

Persoalanya ialah kenapa Pemimpin Tersebut Dipersoal

Almarhum YBM Tunku Abdul Rahman
mengangkat Keris ke udara semasa
pengisytiharan kemerdekaan di Melaka
pada tahun 1956.
Adakah ini kali pertama seorang pemimpin Melayu mengangkat Keris Melayu ke udara? Jika ia bukan kali pertama, adakah pemimpin yang lain yang mengangkat Keris Melayu ke udara juga memohon maaf kerana berbuat demikian?

Menjawab persoalan tersebut, kita menyorot sejarah itu sendiri dan apa yang dapat kita perhatikan adalah jelas. Pemimpin zaman lampau juga mengangkat Keris Melayu ke langit tetapi tidak pula dikritik hebat hingga terpaksa memohon maaf. Tiada pula kedengaran dari lipatan sejarah yang pemimpin tersebut menyinggung perasaan kaum lain dengan mengangkat Kerisnya. Tiada pula terjadi satu polemik antara kaum atau perbalahan antara puak-puak yang berlainan. Jadi, apakah perbezaan antara apa yang dilakukan oleh pemimpin lampau dengan pemimpin yang tidak dapat mempertahankan Keris Melayu itu?

Tiada perbezaan langsung pada aksi mengangkat Keris ke udara. Akan tetapi, perbezaannya dapat dilihat pada natijah aksi tersebut. Seorang pemimpin mendapat sokongan, dokongan dan kasih sayang rakyat apabila menganggkat Kerisnya, beliau menjadi simbol abadi perpaduan. Akan tetapi pemimpin yang seorang lagi menjadi serba salah kerana perbuatannya dan menjadi simbol perpecahan dan ketuanan yang tak bertempat. Persoalan yang selanjutnya, kenapakah ini berlaku?

Ia adalah Persoalan Kredibiliti

Dua reaksi yang berbeza ini adalah kerana, seorang pemimpin yang disenangi oleh semua pihak mempunyai tahap kredibiliti yang berbeza dengan seorang pemimpin yang dipersoalkan. Tiada siapa pun yang akan mempersoalkan Almarhum YBM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj apabila Keris Melayu di hunus oleh beliau. Ini adalah kerana:

1. Almarhum merupakan yang tebal sifat keMelayunya, seorang yang berkaliber.
2. Almarhum merupakan seorang yang menjadi contoh kepada pengikut-pengikutnya yang pelbagai bangsa.
3. Almarhum dipercayai oleh orang-orang disekelilingnya dan apabila beliau mengangkat Keris ke udara bukan bermaksud mencari pergaduhan atau sengketa.

Sememangnya hamba tidak berlaku adil dengan memberi perbandingan seorang tokoh yang besar namanya tersebut dengan tokoh Melayu dewasa ini. Akan tetapi, perbandingan ini adalah perlu kerana, kita seharusnya mencontohi Almarhum YBM Tunku Abdul Rahman di mana beliau mengangkat simbol Melayu tinggi ke udara, mengangkat Melayu itu sendiri, menjadi simbol kemenangan dan keutuhan bangsa.

Pelajaran yang hamba dapati dari episod memalukan beberapa tahun lalu ialah, janganlah bermain-main dengan simbol orang Melayu jika kita belum layak untuk mengangkat simbol tersebut. Hingga sekarang hamba merasakan betapa kecilnya Keris Melayu diperlakukan sebagai simbol orang Melayu.

Hamba ingin memohon pemimpin-pemimpin Malayu lain supaya berfikir dua kali sebelum mengangkat Keris Melayu ke udara. Adakah anda pemimpin yang akan menjatuhkan simbol orang Melayu itu atau anda akan menjulangnya ke tahap yang lebih tinggi.

Hanya Allah yang lebih mengetahui.





 



No comments:

Post a Comment