Kenapa Che Man Menulis
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Nama hamba Che Man. Nama itu diberi kepada hamba oleh kakanda hamba semasa hamba masih dalam kandungan bonda lagi.
Hamba mendedikasikan blog ini khas buat pemuda-pemudi di luar sana yang berminat dengan dunia Melayu untuk di manfaatkan. Pemikiran dan pendapat yang diutarakan adalah dari hamba penulis sendiri yang berteraskan Islam dan juga adat-adat kemelayuan yang serasi dengan Islam. Pada mulanya hamba hanya ingin menulis tentang peradaban Melayu sahaja akan tetapi sekarang dirasakan lebih relavan bagi hamba menulis mengenai Melayu dan masyarakat di Malaysia.
Kenapa hamba terpanggil untuk menulis di sini? Hamba selalu terfikirkan mengenai orang Melayu terutamanya orang-orang muda yang sentiasa dahaga ingin mengisi masa mereka dengan sesuatu...akan tetapi kedahagaan mereka itu tidak dihilangkan dengan budaya Melayu, budaya mereka sendiri. Budaya dari luar yang mendominasi. Budaya di luar yang menjadi ikutan. Kenapa ini terjadi?
Menurut teori "Clash of Civilizations" atau Pertembungan Tamadun, adat dan adab dari satu peradaban atau budaya yang lebih kuat atau dominan akan menghapuskan peradaban atau budaya yang lebih lemah jika kedua-dua peradaban tersebut bertembung... Bila kita melihat budaya Melayu kita, acap kali budaya Melayu kalah dewasa ini. Arus dari budaya lain bagaikan tsunami yang menyelenyapkan budaya Melayu kerana arus budaya lain lebih kuat. Ini merupakan faktor luaran. Akan tetapi lenyapnya praktis dan kecintaan terhadap budaya Melayu adalah kerana faktor dalaman insan Melayu itu sendiri. Faktor dalaman yang dimaksudkan ialah kekurangan perasaan bangga terhadap budaya sendiri dan kurangnya jati diri di dalam menongkah arus kemodenan.
No comments:
Post a Comment